Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh tutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Tuesday, April 6, 2010

Monday, March 1, 2010

JENAZAH BERTUKAR MENJADI BABI HUTAN


Seorang anak mendatangi Rasulullah sambil menangis. Peristiwa itu sangat mengharukan Rasulullah S.A.W yang sedang duduk bersama-sama sahabat yang lain."Mengapa engkau menangis wahai anakku?" tanya Rasulullah. "Ayahku telah meninggal tetapi tiada seorang pun yang datang melawat. Aku tidak mempunyai kain kafan, siapa yang akan memakamkan ayahku dan siapa pula yang akan memandikannya? " tanya anak itu.

Segeralah Rasulullah memerintahkan Abu Bakar dan Umar untuk menjenguk jenazah itu. Betapa terperanjatnya Abu Bakar dan Umar, mayat itu berubah menjadi seekor babi hutan. Kedua sahabat itu lalu segera kembali melapor kepada Rasulullah S.A.W.Maka datanglah sendiri Rasulullah S.A.W ke rumah anak itu. Didoakan kepada Allah sehingga babi hutan itu kembali berubah menjadi jenazah manusia.Kemudian Nabi menyembahyangkannya dan meminta sahabat untuk memakamkannya. Betapa hairannya para sahabat, ketika jenazah itu akan dimakamkan berubah kembali menjadi babi hutan.

Melihat kejadian itu, Rasulullah menanyakan anak itu apa yang dikerjakan oleh ayahnya selama hidupnya."Ayahku tidak pernah mengerjakan solat selama hidupnya," jawab anak itu. Kemudian Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya, "Para sahabat, lihatlah sendiri. Begitulah akibatnya bila orang meninggalkan solat selama hidupnya.Ia akan menjadi babi hutan di hari kiamat."

Monday, February 22, 2010

ADA APA DENGAN TABARRUJ



Ada di kalangan manusia yang menganggap bahawa bersolek adalah satu tradisi bagi golongan wanita lebih-lebih lagi di waktu majlis perkahwinannya. Oleh itu sekiranya seorang perempuan melengkapkan dirinya dengan berbagai-bagai fesyen pakaian, dan beraneka jenis alat solek di badan, tidaklah menjatuhkan imej dan moralnya, dan tidak pula membangkitkan keinginan setiap mata yang memandang……!

Pemikiran dan dakwaan ini sudah menyeleweng jauh dari logik dan kebenaran. Adakah syahwat setiap manusia itu terbatas? Umpamanya seorang suami yang berdepan dengan wanita yang lain selain dari isterinya, apakah perasaan syahwatnya tidak akan beraksi? Jika perkara ini benar-benar berlaku, nescaya perceraian dan pengkhianatan rumahtangga dalam masyarakat tidak akan berlaku sama sekali.

Sebagai ringkasnya, apakah anggapan ini semua betul……..?

Sebenarnya golongan lelaki dan wanita memiliki perlainan sifat-sifat atau perbezaan-perbezaan sifat fizikal di samping berbeza pula di bidang naluri masing-masing. Kaum wanita memiliki fizikal yang khas, tingkah laku mereka lemah lembut serta memiliki hormon-hormon Fauicolone dan Prageslerone. Semua aspek ini adalah sesuai untuk menjadi seorang ibu.

Sedangkan kaum lelaki pula memiliki badan yang tegap serta tenaga yang kuat yang mengatasi tenaga kaum wanita. Istimewa pula kaum lelaki mempunyai benih-benih zuriat (semen). Sifat-sifat ini semua sesuai pula untuk menjadi seorang bapa.

Secara umum, sifat-sifat normal tadi tidak mungkin berubah atau pun bertukar di antara satu sama lain. Berlakunya kejadian ini semua, Allah s.w.t telah menjelaskan di dalam ayat-ayat-Nya yang bermaksud: “Bukankah dia didahului setitis mani yang ditumpahkan ke dalam rahim, kemudian mani itu menjadi segumpal darah. Lalu Allah menciptakan dan menyempurnakan. Kemudian Allah menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan” (al-Qiamah: 37-39).

Sunday, January 31, 2010

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH


Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) , sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya) ?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku) ; kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya) ? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

7 Januari 2010

Monday, December 28, 2009

AURAT SEORANG MUSLIMAH


"Salam perjuangan kepada semua muslimin dan muslimat, saya doakan kepada anda semoga mendapat nikmat kesihatan dari Allah untuk anda meneruskan kehidupan di dunia ini dengan keluarga tersayang. Apa-apapun kehidupan di dunia ini adalah untuk memperolehi kebahagiaan yang dituntut oleh Islam iaitu kebahagian di dunia dan di akhirat. Tergerak hati saya untuk menulis satu artikel berkaitan dengan pakaian wanita yang sekarang ini semakin bergaya dengan fesyen yang dinamakan busana muslimah.

Sebagai seorang ustaz dan pendakwah saya wajib menyampaikan perkara yang hak untuk kebaikan semua umat Islam. Artikel ini telah dipetik dari blog Salam Perjuangan sebagai perkongsian bersama untuk mencari kebenaran tentang perkara yang hak dan perkara yang batil. Islam telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci.

Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.Saya hairan kadang-kadang ada wanita yang bergelar ustazah yang berpakaian tidak mengikut syarak Islam. Bagaimana dia hendak menyampaikan seruan Islam kepada umum sedangkan dia juga berpakaian tidak ikut syarak. Sejak kebelakangan ini, pakaian menurut Islam dipesongkan dengan berbagai fesyen yang dapat menarik penglihatan lelaki terhadap pakaian yang dinamakan busana muslimah. Islam bukan menghalang berfesyen tetapi wajib mematuhi garisan yang telah ditetapkan Islam. Sepertimana firman Allah : “sesungguhnya Allah suka kepada perkara yang cantik dan kemas”.




Ada setengah wanita Islam hanya meletakkan auratnya kepala dan rambutnya sahaja, contohnya kepala bertudung tetapi lengannya terbuka (pakai baju tangan pendek). Ada pula kain tebelah sehingga menampakkan kakinya, tetapi kepalanya bertudung. Ada yang bertudung Wahida atau Wardina tetapi dihiaskan dengan keronsang-keronsang yang berkilau serta berbaju kilat sehingga dapat menarik pandangan orang lain. Di kampung, ramai wanita keluar dari rumah untuk menjemur pakaian atau sapu sampah dikawasan rumahnya hanya bertudung atau diletakkan sehelai kain dikepalanya dan kakinya tidak berstokin.Bagi wanita yang menjaga auratnya dengan berpakaian mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh Islam, maka ia telah menjaga dirinya dari fitnah pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.

Harga diri wanita terlalu mahal. Percayalah dengan pakaian yang sempurna dapat menghindarkan dirinya dari perbuatan jahat, perbuatan keji dan mungkar. Wanita perlu ambil berat masalah ini, kerana takut diri mereka menjadi mangsa kepada kejahatan yang tidak diingini. Banyak kes-kes pencabulan, rogol dan sebagainya adalah disebabkan wanita berpakaian yang menarik dan menjolok mata.Berfesyenlah seperti yang dikehendaki oleh Islam, jangan gadaikan diri anda kelembah dosa dan noda disebabkan fesyen yang tidak mengikuti syariat Islam. Jadilah wanita yang solehah (wanita muslimah) dengan berpakian dan berakhlak mulia. Sesungguhnya anda akan dipelihara oleh Allah sepertimana serikandi Islam iaitu Saidatina Aisyah, Saidatina Khadijah, Maryam ibu Nabi Isa, Rabiatul Adawiyah.

Wednesday, December 23, 2009

MAKSIAT SEBELUM BERKAHWIN



Setiap kali di dalam kuliah tafsir Al-Quran Dr Danial Zainal Abidin, terdapat satu sessi yang dikhaskan untuk bersoal-jawab. Di dalam sessi tersebut para hadirin akan mengajukan soalan-soalan tertentu. Ada yang berkaitan dengan kuliah tafsir, ada yang di luar skop pengajaran pada hari itu. Ada soalan diajukan secara lisan, ada soalan dimasukkan ke dalam ‘kotak soalan’ untuk merahsiakan identiti si penanya.Suatu hari beliau menerima soalan seperti berikut:


“Saya telah mengenali pasangan saya hampir 2 tahun. Kami selalu berjumpa dan bersama ke mana sahaja. Dia seorang gadis yang baik, ilmu agamanya juga ada. Saya memang ada rancangan mahu mengahwininya, namun orang tua saya tidak merestui dengan alasan jauh. Teman saya selalu menyuruh saya agar kami memperapatkan perkahwinan dan tidak terus dengan maksiat yang tidak ada kesudahan. Saya amat kasihankan teman saya. Adakah berdosa saya berkahwin tanpa restu orang tua, hanya kerana niat mengelakkan maksiat.”


Ketika memberi pandangan kepada persoalan di atas, beliau telah secara umumnya menyuruh meninggalkan maksiat seberapa segera sebelum berkahwin. Menurutnya, maksiat sebelum berkahwin menghilangkan keberkatan, mendatangkan pengaruh selepas berkahwin, menghilangkan rasa hormat atau integeriti kepada pasangan selepas berkahwin.Beliau memberi contoh apabila si suami ingin bertegas atau menegur si isteri dalam hal-hal terntentu lalu mendapat respon negatif daripada isteri dengan ejekkan tentang hal-hal sebelum berkahwin. Akhirnya rumatangga tersebut tidak akan mengalami perubahan ke arah kebaikkan.Saya bersependapat, setiap perlakuan maksiat sepatutnya dihentikan sebelum berkahwin, diiringi dengan taubat. Perkahwinan pula dilakukan sekiranya takut perlakuan maksiat itu berulang dan bukannya berfikir, “tak mengapa kita lakukan ini, nanti kita akan kahwin jugak..”


Ditakuti perkahwinan tidak menjadi, namun telah jauh terbabas sehingga tiada jalan kembali.Menyentuh tentang “ilmu agamanya” yang ada di dalam diri pasangan si penyoal, Dr Danial berpendapat bahawa seseorang yang mempunyai asas agama tidak semestinya memahami apa yang mereka tahu. Sekiranya seseorang itu memahami dan menghayati apa yang mereka tahu, sudah tentu mereka akan menjauhi maksiat.Ketika mendengar Dr Danial menjelaskan tentang hal ini, teringat saya kepada sebuah hadith Rasulullah s.a.w, “tidaklah seorang itu bernama alim (berilmu) sebelum berbuat menurut ilmunya”.Hadith ini telah direkodkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi daripada Abi Darda’.


Berhubung dengan restu ibu bapa, Dr Danial berkata Islam amat mementingkan restu ibu bapa di dalam sesuatu perkahwinan. Namun menurut beliau terdapat mazhab yang membenarkan perkahwinan tanpa restu ibu bapa dengan tujuan mengelakkan maksiat, asalkan mereka telah mencukupi umur tertentu. Bagaimanapun, beliau menyuruh agar kedua-dua berjumpa juga dengan ibu bapa untuk meminta maaf dan restu walaupun sudah tahu akan dimarahi.Wallahu’alam. Semoga bermanfaat.


SUMBER: E-Mail