Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh tutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Monday, December 28, 2009

AURAT SEORANG MUSLIMAH


"Salam perjuangan kepada semua muslimin dan muslimat, saya doakan kepada anda semoga mendapat nikmat kesihatan dari Allah untuk anda meneruskan kehidupan di dunia ini dengan keluarga tersayang. Apa-apapun kehidupan di dunia ini adalah untuk memperolehi kebahagiaan yang dituntut oleh Islam iaitu kebahagian di dunia dan di akhirat. Tergerak hati saya untuk menulis satu artikel berkaitan dengan pakaian wanita yang sekarang ini semakin bergaya dengan fesyen yang dinamakan busana muslimah.

Sebagai seorang ustaz dan pendakwah saya wajib menyampaikan perkara yang hak untuk kebaikan semua umat Islam. Artikel ini telah dipetik dari blog Salam Perjuangan sebagai perkongsian bersama untuk mencari kebenaran tentang perkara yang hak dan perkara yang batil. Islam telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci.

Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.Saya hairan kadang-kadang ada wanita yang bergelar ustazah yang berpakaian tidak mengikut syarak Islam. Bagaimana dia hendak menyampaikan seruan Islam kepada umum sedangkan dia juga berpakaian tidak ikut syarak. Sejak kebelakangan ini, pakaian menurut Islam dipesongkan dengan berbagai fesyen yang dapat menarik penglihatan lelaki terhadap pakaian yang dinamakan busana muslimah. Islam bukan menghalang berfesyen tetapi wajib mematuhi garisan yang telah ditetapkan Islam. Sepertimana firman Allah : “sesungguhnya Allah suka kepada perkara yang cantik dan kemas”.




Ada setengah wanita Islam hanya meletakkan auratnya kepala dan rambutnya sahaja, contohnya kepala bertudung tetapi lengannya terbuka (pakai baju tangan pendek). Ada pula kain tebelah sehingga menampakkan kakinya, tetapi kepalanya bertudung. Ada yang bertudung Wahida atau Wardina tetapi dihiaskan dengan keronsang-keronsang yang berkilau serta berbaju kilat sehingga dapat menarik pandangan orang lain. Di kampung, ramai wanita keluar dari rumah untuk menjemur pakaian atau sapu sampah dikawasan rumahnya hanya bertudung atau diletakkan sehelai kain dikepalanya dan kakinya tidak berstokin.Bagi wanita yang menjaga auratnya dengan berpakaian mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh Islam, maka ia telah menjaga dirinya dari fitnah pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.

Harga diri wanita terlalu mahal. Percayalah dengan pakaian yang sempurna dapat menghindarkan dirinya dari perbuatan jahat, perbuatan keji dan mungkar. Wanita perlu ambil berat masalah ini, kerana takut diri mereka menjadi mangsa kepada kejahatan yang tidak diingini. Banyak kes-kes pencabulan, rogol dan sebagainya adalah disebabkan wanita berpakaian yang menarik dan menjolok mata.Berfesyenlah seperti yang dikehendaki oleh Islam, jangan gadaikan diri anda kelembah dosa dan noda disebabkan fesyen yang tidak mengikuti syariat Islam. Jadilah wanita yang solehah (wanita muslimah) dengan berpakian dan berakhlak mulia. Sesungguhnya anda akan dipelihara oleh Allah sepertimana serikandi Islam iaitu Saidatina Aisyah, Saidatina Khadijah, Maryam ibu Nabi Isa, Rabiatul Adawiyah.

Wednesday, December 23, 2009

MAKSIAT SEBELUM BERKAHWIN



Setiap kali di dalam kuliah tafsir Al-Quran Dr Danial Zainal Abidin, terdapat satu sessi yang dikhaskan untuk bersoal-jawab. Di dalam sessi tersebut para hadirin akan mengajukan soalan-soalan tertentu. Ada yang berkaitan dengan kuliah tafsir, ada yang di luar skop pengajaran pada hari itu. Ada soalan diajukan secara lisan, ada soalan dimasukkan ke dalam ‘kotak soalan’ untuk merahsiakan identiti si penanya.Suatu hari beliau menerima soalan seperti berikut:


“Saya telah mengenali pasangan saya hampir 2 tahun. Kami selalu berjumpa dan bersama ke mana sahaja. Dia seorang gadis yang baik, ilmu agamanya juga ada. Saya memang ada rancangan mahu mengahwininya, namun orang tua saya tidak merestui dengan alasan jauh. Teman saya selalu menyuruh saya agar kami memperapatkan perkahwinan dan tidak terus dengan maksiat yang tidak ada kesudahan. Saya amat kasihankan teman saya. Adakah berdosa saya berkahwin tanpa restu orang tua, hanya kerana niat mengelakkan maksiat.”


Ketika memberi pandangan kepada persoalan di atas, beliau telah secara umumnya menyuruh meninggalkan maksiat seberapa segera sebelum berkahwin. Menurutnya, maksiat sebelum berkahwin menghilangkan keberkatan, mendatangkan pengaruh selepas berkahwin, menghilangkan rasa hormat atau integeriti kepada pasangan selepas berkahwin.Beliau memberi contoh apabila si suami ingin bertegas atau menegur si isteri dalam hal-hal terntentu lalu mendapat respon negatif daripada isteri dengan ejekkan tentang hal-hal sebelum berkahwin. Akhirnya rumatangga tersebut tidak akan mengalami perubahan ke arah kebaikkan.Saya bersependapat, setiap perlakuan maksiat sepatutnya dihentikan sebelum berkahwin, diiringi dengan taubat. Perkahwinan pula dilakukan sekiranya takut perlakuan maksiat itu berulang dan bukannya berfikir, “tak mengapa kita lakukan ini, nanti kita akan kahwin jugak..”


Ditakuti perkahwinan tidak menjadi, namun telah jauh terbabas sehingga tiada jalan kembali.Menyentuh tentang “ilmu agamanya” yang ada di dalam diri pasangan si penyoal, Dr Danial berpendapat bahawa seseorang yang mempunyai asas agama tidak semestinya memahami apa yang mereka tahu. Sekiranya seseorang itu memahami dan menghayati apa yang mereka tahu, sudah tentu mereka akan menjauhi maksiat.Ketika mendengar Dr Danial menjelaskan tentang hal ini, teringat saya kepada sebuah hadith Rasulullah s.a.w, “tidaklah seorang itu bernama alim (berilmu) sebelum berbuat menurut ilmunya”.Hadith ini telah direkodkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi daripada Abi Darda’.


Berhubung dengan restu ibu bapa, Dr Danial berkata Islam amat mementingkan restu ibu bapa di dalam sesuatu perkahwinan. Namun menurut beliau terdapat mazhab yang membenarkan perkahwinan tanpa restu ibu bapa dengan tujuan mengelakkan maksiat, asalkan mereka telah mencukupi umur tertentu. Bagaimanapun, beliau menyuruh agar kedua-dua berjumpa juga dengan ibu bapa untuk meminta maaf dan restu walaupun sudah tahu akan dimarahi.Wallahu’alam. Semoga bermanfaat.


SUMBER: E-Mail

Thursday, December 17, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1431



Wishing you all a very best Awal Muharram, the first day of Muslim Calendar and
do remember the true meaning of this great & blessed day.

Sunday, December 13, 2009

RAHSIA PEMAKANAN CENDIKIAWAN ISLAM



Sumber : Majalah estidotmy keluaran Mac 2007



Seperti yang kita sedia maklum,makanan merupakan faktor paling penting bukan sahaja kepada kesihatan tubuh badan malah lebih utama kepada kecerdasan otak. Ramai percaya bahawa terdapat sesetengah makanan yang boleh membantu menguatkan daya ingatan dan menjadikan minda serta fikiran kita lebih cerdas. Malah, cendekiawan-cendekiawan Islam silam juga mempunyai rahsia dan formula makanan mereka tersendiri dan terpendam di dalam kitab-kitab tradisional dalam bahasa Arab. Namun, sejak beberapa abad kebelakangan ini, rahsia pemakanan cendekiawan Islam yang tesembunyi dari pengetahuan orang Arab dan umat Islam lain ini cuba diketengahkan kembali. Berikut adaklah formula pemakanan genius-genius Islam yang terbukti berupaya meningkatkan kepintaran dan kekuatan daya ingatan :


MADU

Madu adalah makanan yang amat berkhasiat. Al-Quran mengiktirafnya sebagai “shifa” iaitu penyembuh penyakit. Manisan madu digelar Raja Ubat dan dapat menyembuh kebanyakan penyakit. Ia adalah makanan untuk kesihatan keseluruhannya dan mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral, protein antiseptik, dan enzim yang meningkatkan ingatan dan kecerdasan mental individu. Madu juga mengandungi pelbagai zat galian yang penting seperti kalsium, sulfur, fosforus, zat besi, karbon, magnesium dan belerang untuk memupuk tenaga dan kesihatan fizikal-mental. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit-penyakit mental yang mana ia boleh menghindarkan kepenatan otak bekerja seperti berfikir, membaca, merancang, dan bermesyuarat.


KISMIS-

Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. -Kekurangan oksigen menyebabkan seseorang mudah mengantuk, pelupa, serta lemah fikiran.


SUSU SEGAR-

Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. -Mengandungi tiga unsur semulajadi iaitu keju, lemak, dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. -Merupakan makanan yanag paling lengkap dan berkhasiat. Ia mengandungi enam kelas makanan yang amat diperlukan oleh tubuh badan iaitu karbohidrat, lemak, protein, semua jenis vitamin, mineral dan air. -Ia berkhasiat untuk merawati kesihatan umum dan merupakan penawar kelupaan yang berkesan. -Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri-biri dan lembu yang segar. Susu hidup lebih berkhasiat dari susu debu.


TELUR

Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Pakar kesihatan mengakui telur merupakan makanan yang lengkap dan berkhasiat. Ia mengandungi protein, mineral, vitamin, kalsium, kuprum, magnesium, fosforus, kalium, sulfur, natrium, klorin, zat besi, air dan bahan ekstraktif. Telur terutama telur kuning, berupaya mengatasi masalah kelemahan tenaga fizikal dan minda. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampong dan masih baru.


HALIA

Ia sangat mujarab untuk mengelak sering lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan manisan dengan merebus dan mencampurkannya dengan gula. LIMAU OREN Berkhasiat untuk mengemaskan urat-urat jantung dan menambah kekuatan fikiran. Limau jenis lain juga elok untuk diamalkan.


DAGING BURUNG MERPATI

Ia mengandungi protein, lemak, kalsium, fosforus dan kalori. Sangat efektif unuk meningkatkan kecerdasan terutama kanak-kanak. Kanak kanak yang diberi telur burung merpati didapati dapat bercakap lebih awal dari kebiasannya


DAGING AYAM

Berbanding dengan semua jenis daging, ayam dianggap mengandungi kadar zat pemakanan yang paling tinggi. Daging ayam betina dara terutamanya berkhasiat meningkatkan prestasi otak dan membaiki darah.


DAGING BIRI-BIRI

Menambah darah, sesuai untuk orang aktif dan bekerja berat serta dapat meningkatkan kekuatan menghafal. HATI Terutamanya hati ayam dan lembu. Mengandungi pelbagai jenis vitamin dan bermanfaat untuk kesihatan mental dan fizikal.


KEKACANG

Beberapa jenis kacang seperti gajus, berangan, kacang soya, pistachio dan lain-lain. Kacang pistachio dipercayai sangat efektif untuk meningkatkan kecerdasan terutamanya kanak-kanak dan ia juga mengandungi nilai protein yang tinggi.


BUAH BADAM

Untuk meningkatkan kecerdasan.


KEMENYAN PUTIH

(Kemenyan Serani/Luban/Kundar) Ditumbuk halus-halus dan dimakan dengan gula


BUNGA KUBIS

Terdapat sejenis asid amino di dalam sayuran ini yang mampu menguatkan tenaga mental.


BUNGA CENGKIH

Ditumbuk sehingga halus lalu dimakan sedikit sahaja. Ia berguna untuk merangsang kecergasan minda dan memberi lebih tenaga untuk badan.


LABU

Berfaedah menambahkan keupayaan fikiran dan akal. Disarankan untuk memasukkan labu dalam sebarang masakan sup kerana ia mampu menambahkan kemampuan fikiran dan akal.


BUAH KEDEKAI (MAJALAWI)

Menguatkan hafalan dan menguatkan kekuatan badan.


MINYAK SAPI

Dimakan terus atau dicampurkan dengan masakan dalam kuantiti yang kecil. Melancarkan peredaran darah ke bahagian otak serta menguatkan memori.


SAYUR-SAYURAN DAN BUAH-BUAHAN SEGAR

Membantu meningkatkan kekuatan akal dan memori

Wednesday, November 25, 2009

INFO ZULHIJJAH


Amalan-Amalan Di Bulan Zulhijjah

Bulan Zulhijjah adalah bulan haji, maka ibadat haji adalah menjadi keutamaan dikerjakan di bulan ini. Bagi yang mengerjakan haji, kita doakan mereka pergi dan kembali dalam keadaan selamat. Moga ibadah haji mereka akan diterima Allah SWT.

Bagi yang masih belum berkesempatan dan belum berkemampuan, bersabarlah dan sentiasalah memasang cita-cita untuk ke Makkah di tahun akan datang, InsyaAllah. Pada 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji atau disebut juga dengan Hari Raya Korban dalam bahasa Arabnya Idul Adha. Kita disunatkan bersolat sunnat 'Id di pagi harinya dan disunnatkan menyembelih binatang ternak yang berkaki empat (unta, lembu atau kambing).

Pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah dikenali dengan Hari Taysrik yang mana korban masih disunnatkan lagi dilakukan. Disunatkan juga kita bertakbir setiap masa khasnya selepas solat pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah tersebut dan diharamkan kita berpuasa padanya.

Monday, November 23, 2009

SEBAIK-BAIK KEJADIAN WANITA, TERSEMBUNYI RAHSIA YANG BESAR

Kejadian wanita amat unik berbanding dengan kejadian lelaki. Sengaja Allah SWT menjadikan wanita berbeza dengan kaum lelaki. Perbezaan ini mengandungi hikmah yang tidak dapat dibantah atau disangkal oleh pemikiran manusia. Di sebalik kejadian wanita yang serba lemah, sebenarnya tersembunyi rahsia Allah yang amat besar, yang perlu disedari oleh setiap wanita. Jika wanita dapat meletakkan diri mereka di tempat yang sesuai dengan hakikat kejadian mereka yang serba lemah itu, wanita menjadi lebih mulia daripada lelaki serta menjadi penyeri alam.

Wanita perlu terlebih dahulu memahami asal-usul kejadian serta mengenali kelemahan-kelemahan yang telah Allah SWT fitrahkan kepada mereka. Wanita pertama yang dijadikan Allah SWT iaitu Hawa adalah hasil doa Nabi Allah Adam a.s. Beliau yang kesepian hidupnya di syurga ketika itu tiada teman untuk berbicara. Allah SWT memperkenankan doa beliau dengan menciptakan seorang wanita untuknya. Inilah secara ringkasnya kejadian wanita, makhluk yang halus kulitnya, lemah sendi tulangnya dan berbeza pula bentuk serta susunan tubuhnya berbanding dengan lelaki.

Kaum wanita harus menerima hakikat asal kejadian mereka. Oleh kerana mereka dijadikan daripada tulang yang bengkok lagi lemah, mereka perlu kepada pimpinan yang halus tetapi tegas. Rasulullah saw bersabda lagi: “Perempuan itu seperti tulang rusuk, jika kamu meluruskannya, bererti kamu mematahkannya. Jika kamu membiarkannya, dia akan tetap bengkok.” Riwayat Imam Bukhari.

Dalam keadaan yang lemah ini, wanita tidak mampu untuk membuat sesuatu pekerjaan kecuali dibantu dengan baik. Oleh sebab itulah Allah SWT tidak menuntut wanita melaksanakan sesuatu yang tidak termampu olehnya. Apa yang dipertanggungjawabkan ke atas wanita adalah bersesuaian dengan kekuatan fizikal dan mentalnya. Ini boleh dilihat dari sudut ibadahnya.

Walaupun Allah SWT telah mewajibkan ke atas setiap mukalaf supaya mengucapkan dua kalimah syahadah, menunaikan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji, namun bagi kaum wanita hanya tiga perkara yang mampu dilaksanakan sendiri iaitu mengucapkan syahadah, solat dan berpuasa. Dalam melaksanakan haji dan berzakat, mereka umumnya memerlukan bantuan kaum lelaki.

Jika dibandingkan dengan kaum lelaki daripada sudut ibadah, ternyata ibadah kaum wanita adalah sedikit. Cuma Allah SWT tidak pernah melebihkan kaum lelaki daripada segi pahalanya, seperti mana firman Allah SWT: “Barangsiapa mengerjakan kebaikan, baik daripada lelaki mahupun perempuan, padahal dia beriman, maka pasti Kami akan beri penghidupan dengan hidup yang baik dan nescaya Kami akan beri balasan pahala atas mereka itu dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” Surah An-Nahl: 97.

Wanita tidak hanya lemah pada asal kejadiannya malah pada umumnya lemah juga pada akalnya. Jika diukur nisbah antara akal dan nafsu, wanita hanya mempunyai satu akal berbanding dengan sembilan nafsu. Manakala lelaki pula mempunyai satu nafsu berbanding dengan sembilan akal. Ini jelas dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT: “Dialah yang menciptakan kamu daripada nafsu yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya.”

Maka atas ketinggian nafsu yang terlalu berbeza dengan akal, wanita lazimnya menjadi terlalu emosional (kuat perasaan) sehingga mudah merasa sensitif dalam semua hal. Lebih-lebih lagi dalam hal yang berkaitan dengan urusannya. Oleh kerana itu, wanita perlu mendapatkan pimpinan daripada kaum lelaki yang lebih luas pemikirannya. Dengan pimpinan itu, mereka akan mendapat panduan untuk bertindak dalam sesuatu hal dan dapat manfaatkan emosinya untuk kebaikan.

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab kepada kaum perempuan. Oleh kerana Allah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” Surah An-Nisa: 34.

Emosi perlu bagi wanita kerana tanpa emosi, kaum wanita ditakuti bertindak liar dan merosakkan. Tanpa bimbingan, nafsu lebih banyak mempengaruhi mereka daripada akal. Namun begitu, jika emosi dipimpin dan diatur selaras dengan syariat - wanita akan menjadi makhluk yang paling cantik, unik, sensitif dengan Allah, dengan makhluk dan alam sekitarnya. Barulah mereka menjadi mutiara yang paling berharga di dunia.

Bagi memimpin emosi, wanita perlu meningkatkan ilmu dunia dan akhirat. Jika ilmu dapat dipertingkatkan, daya fikrah (akal) juga akan menjadi kuat. Apabila daya fikrah kuat, nafsu yang liar akan dapat dididik dan ditundukkan. Nafsu yang telah ditundukkan akan bertukar kepada nafsu yang tinggi martabatnya di sisi Allah iaitu sekurang-kurangnya peringkat nafsu yang paling rendah yang dapat menjamin keselamatan di akhirat kelak. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud: “Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah) kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.” Surah Al-Fajr: 23.

Satu lagi faktor yang boleh menundukkan emosi wanita secara semula jadi ialah apabila wanita melahirkan anak. Pada setiap kelahiran anak terkandung 1001 rahsia Allah SWT perlu juga diketahui sedikit sebanyak oleh wanita itu sendiri. Sakit yang dideritai ketika bersalin, selain menjadi sebab untuk menghapuskan dosa-dosa yang lalu, juga akan menurunkan emosi wanita. Jika emosi boleh dibilang, maka pada setiap kelahiran itu gugurlah satu emosi. Inilah antara sebab mengapa wanita menjadi kian matang apabila anak semakin bertambah.

Tujuan kita mendedahkan kelemahan bukanlah kerana hendak merendah-rendahkan kaum wanita, tetapi supaya mereka terus terpimpin dan sedar di garisan mana harus mereka bertapak dan berpijak. Andai kata terdapat kekurangan dari segi hak dalam syariat Islam atau di dalam sudut-sudut yang lain, sebenarnya Islam telah menggantikannya dengan kelebihan dalam sudut yang lain bersesuaian dengan fitrah semula jadinya. Terjadi kekurangan itu adalah untuk faedah atau kepentingan kaum wanita itu sendiri.

Oleh kerana kaum wanita halus perasaannya berbanding dengan kaum lelaki, maka atas dasar inilah mereka lebih sesuai berperanan sebagai pendidik anak-anak dan menguruskan keluarga. Ini kerana bidang ini memerlukan seorang pengurus yang halus emosinya, dan tabiat ini sememangnya ada pada wanita. Ianya bukanlah satu penghinaan tetapi merupakan satu penghormatan daripada Allah SWT. Di situlah letaknya kemuliaan.

Oleh sebab itulah, kaum wanita mestilah berusaha menjaga maruahnya supaya tidak tercemar. Usaha menjaga maruah diri juga merupakan satu cabang daripada banyaknya cabang ibadah. Ini termasuklah menjaga tutur kata, gerak-geri, tingkah laku dan apa saja yang berkaitan dengan peribadi wanita itu sendiri. Maruah wanita adalah sesuatu yang seni, halus dan sensitif. Bagi menjaganya, bukanlah mudah kecuali dengan ilmu dan iman yang kuat.

DIPETIK DARIPADA:MINGGUAN WANITA, 17-23 OKTOBER 2003

Monday, November 2, 2009

HAKIKAT KEMULIAAN



Kemuliaan sebenarnya bukannya datang dari pujian dan sanjungan tetapi kemuliaan itu adalah anugrah Allah yang sangat tinggi kepada sesiapa yang dikehendaki. Jika manusia itu dimuliakan oleh orang ramai belum tentu lagi kemuliaan itu bersifat kekal dan abadi mungkin kerana hartanya,pengaruhnya maupun kerana takutkan kuasanya sahaja. Jika kita berusaha untuk mencari kemuliaan makhluk maka yang akan kita perolehi sebenar ialah sebuah kepura-puraan.

Kemuliaan itu hanya berlaku apabila kita melepaskan segala-galanyanya bagi mencari “redha” Allah dengan tidak lagi mengharap pujian dari orang yang memuji. Siapa jua boleh menilai kita samada kita orang cemerlang atau pun kecundang tetapi penilaian dari mata manusia ternyata sangat lemah dan berubah-ubah dari masa kesemasa. Mungkin hari ini kita di anggap berjaya tetapi esok pula kita dianggap gagal dan sebaliknya.


Paling mudah untuk kita fahami bahawa kemuliaan itu datang dari sumber yang satu iaitu dari Allah. Allah boleh memberikan kemuliaan dan kehinaan kepada siapa yang dia kehendaki dan hanya Allah sahaja yang mengetahui kenapa terjadinya demikian. Kita sudah tentulah berdoa terus agar Allah memandang kita dalam pandangan rahmatnya dan sekali-kali jangan berputus asa dengannya. Amin