Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh tutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Wednesday, August 26, 2009

ADAB BERPUASA DAN SOLAT TARAWIH


Oleh NAZMI AIDARUS

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Monday, August 24, 2009

KELEBIHAN RAMADHAN


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Biografi

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani

3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

sumber:http://www.ashtech.com.my/bulanislam/

Monday, August 17, 2009

H1N1


Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.

Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, untuk membendung wabak pandemik di Malaysia (to slow down the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia-ada akan diteruskan melalui langkah-langkah pencegahan dan mitigasi. Langkah pencegahan dan mitigasi ini perlu diambil bagi memastikan kes-kes yang berisiko dikenal pasti dan diambil tindakan awal untuk mengelakkan komplikasi. Orang ramai adalah diminta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani pandemik ini.

Aktiviti-aktiviti yang sedia ada akan dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan yang cekap dan berkesan agar penularan kes di Malaysia dapat dikurangkan ke tahap yang minima.

Apa itu Fasa Mitigasi (Peredaan)

Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.

Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.

Siapakah yang berisiko tinggi akibat jangkitan Influenza A (H1N1)?

  1. Kanak-kanak berusia kurang 5 tahun

  2. Individu berusia 65 tahun dan ke atas

  3. Kanak-kanak dan remaja (<>
  4. Wanita mengandung

  5. Dewasa dan kanak-kanak dengan asma, penyakit pernafasan kronik obstruktif, kegagalan organ, penyakit kardiovascular, hepatik, heamatologikal, neurologik, neuromuscular atau masalah metabolik seperti Diabetes Mellitus

  6. Dewasa dan kanak-kanan yang mengalami daya ketahanan yang rendah (immunosuppression)

  7. Individu yang menginap di rumah kebajikan dan institusi penjagaan yang lain

Peranan Masyarakat Semasa Fasa Mitigasi

Masyarakat perlu mengetahui cara virus ini merebak.

  • Influenza A (H1N1) virus berjangkit dari manusia kepada manusia melalui titisan cecair, (yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin).

  • Mana-mana individu yang berhubung rapat (lebih kurang 1 meter) dengan individu yang mengalami gejala selesema (demam, bersin, batuk, hidung berair, menggigil, sakit sendi dan lain-lain adalah berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit akibat dari titisan cecair.

  • Oleh itu, masyarakat perlu mengambil langkah pencegahan berikut:

    1. Amalkan kebersihan diri dan adab batuk yang betul

    2. Amalkan kawalan jangkitan sama ada di rumah, tempat kerja atau pengangkutan awam

    3. Peranan penutup mulut dan hidung (mask) dalam masyarakat

      • Tiada bukti kukuh mengenai keberkesanan memakai mask di tempat awam. Namun, ia telah digunakan dalam ruang yang sesak/tertutup apabila berhubung dengan individu yang mengalami gejala selesema

      • Individu boleh memakai penutup mulut dan hidung (surgical mask) di rumah dan di kalangan masyarakat, terutamanya jika mereka berhubung rapat dengan individu yang mengalami gejala influenza, contohnya semasa menjaga ahli keluarga yang sakit.

      • Penggunaan mask membolehkan individu yang mengalami gejala influenza untuk menutup mulut dan hidung mereka bagi menghalang titisan cecair dari tersebar, salah satu kaedah adab batuk yang betul/baik.

      • Surgical mask juga disyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi apabila berada di kawasan yang sesak.

    4. Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah, elakkan berhubung rapat dengan ahli keluarga yang lain serta mengambil langkah kawalan dan pencegahan dari menjangkiti mereka yang menjaga pesakit.

    5. Sekiranya gejala influenza semakin teruk, pesakit hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di hospital.

    6. Sekiranya individu yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi mengalami gejala influenza, segera dapatkan rawatan awal

    7. Elakkan berada di kawasan sesak dan seboleh-bolehnya tangguhkan/ batalkan / kurangkan menghadiri majlis keramaian

    8. Dapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa dari sumber yang boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Thursday, August 13, 2009

7 PETUA KECEMERLANGAN PELAJAR




Menjelang peperiksaan,pelbagai permasalahan disuarakan oleh bukan pelajar tetapi juga ibu bapa.Bagi pelajar,masalah² seperti cara membahagikan masa ,strategi pembelajaran terbaik di samping petua ulang kaji yang tebaik sering ditanya.Bagi ibu bapa pula,petua untuk menasihati anak yang masih leka menonton televisyen di saat-saat peperiksaan yang hampir menjelma adalah antara persoalan popular.

Rencana ini cuba menjawab secara umum,akan persoalan dan permasalahan di kalangan calon peperiksaan sendiri,dan permasalahan yang dihadapi ibu bapa,guru dan pihak lain yang prihatin.

Pertama, hadir di dalam bilik darjah.Dalam tempoh 2-3 bulan ini,anda mesti datang ke sekolah dan hadir di dalam bilik darjah untuk mengikti apa juga ajaran dan nasihat guru di samping perbincangan dengan kawan sedarjah.

Kedua, pastikan anda mendapat petunjuk yang sebanyak-banyaknya daripada semua guru mata pelajaran anda.Jangan mengambil kesempatan untuk `tuang` kelas atau bersengkokol dengan kawan² yang kurang motivasi atau tidak jelas matlamat mengapa belajar atau menduduki peperiksaan.Anda mungkin perlu sentiasa berjumpa guru untuk perbincangan di luar waktu sekolah.Lakukan demi kefahaman.Di samping itu,anda perlu ada kawan belajar sehingga 4 orang lagi supaya pembelajaran atau perbincangan anda dengan guru mata pelajaran lebih bererti.

Ketiga, jangan membuang masa berbincang perkara yang tidak penting.Selama anda berada di kawasan sekolah dari pagi hingga tengahari atau ke petang,sekiranya tidak belajar di dalam bilik darjah,jangan lagi membuang masa bersembang di kantin atau berlonggok di bawak pokok.Sebaliknya,pergilah ke perpustakaan untuk menyelesaikan kerja sekolah atau berbincang dengan kawan² kumpulan belajar, ataupun mengulang kaji pelajaran secara bersendirian.

Keempat, sanggup bekerja keras.Kalau sehingga bulan Ogos ini markah anda untuk setiap mata pelajaran pada keseluruhannya di bawah 60%,anda perlulah menumpukan lebih banyak masa untuk belajar, memaham dan menguasai topik,fakta,rumus dan simbol mata pelajaran tertentu demi peningkatan pencapaian sehingga 80% ke atas.

Kelima, mematuhi jadual pembelajaran dan ulang kaji yang teratur.Bayangkan,anda mengambil 10 mata pelajaran (SPM) atau 8 mata pelajaran (PMR).Jangan lupa,aktiviti ulang kaji ini termasuk membaca, memaham,melukis(melakar),menulis dan mengingat.

Di samping membaca, memahami dan mengingat fakta, bahasa, konsep atau persoalan dan pernyataan,anda mesti mahir melukis peta,rajah,jadual dan graf dan menulis karangan atau jawapan berbentuk rencana. Sehubungan dengan latihan menulis jawapan ini,di sini saya mengingatkan semua calon supaya menguasai bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.

Khusus bagi penguasaan mata pelajaran,anda perlu berdamping dengan guru,buku teks atau kawan yang pandai.Setiap mata pelajaran ada sifat dan ciri umum,dan khusus.Misalnya,bagi menguasai mata pelajaran Matematik,anda perlu menguasai topik,rumus,simbol dan pengiraan.

Keenam, sentiasa sihat badan dan cerdas minda.Selama belajar ini pastikan anda mengambil makanan dan minuman yang dimasak,bersih,segar dan berkhasiat.Kurangkan atau tinggalkan daripada memakan makanan segera atau meminum minuman bergas dan berais.Ingat!!Otak yang cerdas,pergerakan yang cergas dan emosi yang ceria,datang daripada badan yang sihat.Badan yang sihat ditentukan oleh makanan dan minuman yang baik dan seimbang.Pastikan anda sihat,cergas dan ceria sebelum dan semasa peperiksaan.

Ketujuh, sentiasa mengerjakan sembahyang dan berdoa.Bukan sahaja anda,ibu bapa,sanak saudara pun sama tidak meninggalkan solat,dan turut mendoakan kejayaan anda.

Oleh: Dr Sulaiman Basri

Sunday, August 9, 2009

WANITA SOLEHAH : PENYERI TAMAN SYURGA



Wanita ibarat bunga... cantik indahnya pada pandangan mata hanya sementara... Yang kekal menjadi pujaan manusia, hanyalah wanita yang mulia akhlaknya... kerana akhlaq itu umpama bunga diri.. Tiada guna berwajah cantik tetapi akhlaq buruk.. tiada guna juga berwajah cantik tetapi hati kosong dari ilmu... Ibarat bunga.. ada yang cantik bila dipandang tetapi busuk baunya... Ada pula yang kurang menarik dan baunya juga kurang menyenangkan... Ada juga bunga yang tidak menarik pada pandangan mata kasar.. tetapi bila dihalusi dengan mata hati, ternyata amat tinggi nilainya....Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita. Oleh yang demikian, Allah telah menetapkan hukumnya ke atas mereka; walaupun berat di pandangan mata si jahil dan ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dicicip oleh wanita solehah. Kerana itulah... Sebagai anak, dia menjadi anak yang solehah... Sebagai remaja dia akan menjadi remaja yang berhemah.. sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya.. sebagai ibu, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang... dan pastinya sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya... Islam tidak membezakan kedudukan atau darjat seseorang samaada mereka wanita atau lelaki melainkan berdasarkan ketaqwaan mereka kepada Allah...


Firman Allah dalam surah an-Nisa', ayat 24 yang bermaksud... "Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun." Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya : "Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah." hari Muslim

KEDUDUKAN WANITA DALAM ISLAM

Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi. Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari redha Allah (Mardhatillah).


Allah telah berfirman, "Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun." An-Nisaa : 124 Rasulullah juga turut menyuruh umatnya supaya memperlakukan wanita sebaik-baiknya sebagaimana sabda baginda yang bermaksud : "Mereka yang paling sempurna dikalangan mereka yang ikhlas adalah mereka yang mempunyai akhlak yang terbaik dan yang terbaik dikalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya." Hadith Riwayat At-Tirmidzi.


Rasulullah saw telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud.... "Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu."Al-Bukhary dan Muslim.

Terdapat perbezaan diantara pembawaan lelaki dan wanita yang tidak boleh dinafikan. Wanita secara fizikalnya lebih lemah dari kamu lelaki, oleh itu mereka tidak dapat melindungi diri merek dengan kekuatan mereka sendiri. Fitrah telah mengurniakan kepada wanita dua ciri iaitu kedegilan dan rasa malu yang merupakan dua senjata ampuh yang digunakan untuk memelihara diri mereka. Nilai sebenar wanita dalam Islam amat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh wanita Barat. Nilai wanita bukan terletak pada fesyen pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.

WANITA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Wanita diciptakan sebagai penenteram dan penyenang hati: "Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya." Ar Ruum : 21

Wanita sebagai sumber kasih, sayang dan kelembutan: " Dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang."Ar Ruum : 21. Wanita berperanan melahirkan zuriat dan memberi pendidikan. "Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis-jenis kamu sendiri dan menjadikan dari isteri- isteri itu, anak-anak dan cucu-cucu."An Nahl :72

Artikel ini dipetik dari:www.hanan.com.my

Tuesday, August 4, 2009

UNIT-UNIT DALAM NISA'

UNIT KERJAYA (UKJ)

Berperanan untuk membantu generasi muda agar dapat mencapai kecemerlangan dalam pengajian mereka samada dari sekolah rendah, sekolah menengah, hinggalah ke institusi pengajian tinggi, malah dalam kerjaya mereka sekalipun. Antara matlamat UKJ ialah:

  • Menanam kesedaran kepada para pelajar tentang perlunya mereka berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran mahupun pengajian yang diceburi.


  • Membina Bank Resume bagi memudahkan Proses Pemadanan Calon-Kekosongan (Candidate-Vacancy Match Making) bagi ahli Nisa' yang bercadang untuk mencari pekerjaan.

  • Menyediakan khidmat nasihat dalam memilih kerjaya serta program-program kemahiran yang boleh memberikan nilai tambah (added value) kepada ahli Nisa'.

  • Membuka minda generasi muda terutamanya ahli Nisa' untuk menerokai bidang keusahawanan.

  • Menyediakan satu platform untuk generasi muda bagi berkongsi pengalaman serta dapat saling membantu dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengajian dan kerjaya.

Antara Modul dalam Unit Kerjaya:

  • PMR:Langkah Pertama Menuju Kejayaan

  • Halatuju Selepas SPM

  • Penulisan Resume Yang Efektif

  • Tips Temuduga

  • Sembang Kerjaya
  • Tips Untuk Menjadi Usahawan



UNIT PEMBANGUNAN INSAN (UPI)

Unit Pembangunan Insan berperanan mendidik generasi muda dengan membangkitkan semangat menyintai ilmu dunia dan ilmu akhirat melalui program yang mudah, ceria serta menarik.

Di samping bergembira menerokai ilmu bersama teman-teman baru, ahli NISA' berpeluang berkongsi dan menceduk pengalaman bagi mempertingkatkan peribadi dan personaliti diri bersama ahli-ahli yang lebih senior.

Antara MODUL Unit Pembangunan Insan:

  • Jalan-Jalan Cari Ilmu
  • Modul I'm Proud 2B A Muslim
  • Quranic Circle
  • Nisa Games
  • Nisa Jamboree
  • Movie & Song Critix
  • Personality Grooming Courses
  • Self Development Courses
  • NISA' Xplore Race
  • Parables in The Quran
  • OK 2 Karaoke


UNIT KHIDMAT KAUNSELING (UKK)

Unit Khidmat dan Kaunseling berperanan sebagai “the lending ears” kepada generasi muda dengan cara:

  1. Menjaga kebajikan ahli secara proaktif.
  2. Bekerjasama dengan Unit Pembangunan Insan dan Unit Kerjaya untuk melahirkan ahli NISA’ yang serba boleh.
  3. Menjalin hubungan akrab dengan rumah perlindungan dan rumah kebajikan (khusus untuk remaja dan wanita muda).

Antara Modul dalam Unit Khidmat Kaunseling ialah:

  • Kaunseling Maya:http://www.webnisa.net/
  • Telekaunseling : NISA' Careline
  • NISA’ Friendly Visit
  • NISA’ Away Day
  • NISA' Group-binding
  • NISA' Outreach

NISA': Suatu Pengenalan

TENTANG NISA'
Kebajikan. Kemanusiaan. Kemasyarakatan.

NISA’ berhasrat untuk menjalin hubungan akrab dengan pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan, media serta NGO dalam usaha NISA’ untuk berkhidmat kepada masyarakat.


MISI NISA
'NISA' berhasrat melahirkan generasi yang mengagungkan agama, mencintai ilmu & berakhlak mulia.Misi NISA' ini akan tercapai melalui program-program yang dirancang dengan teliti, disemai dengan kasih sayang, dan disampaikan dengan penuh keikhlasan.


KEAHLIAN NISA'
Terbuka kepada golongan wanita yang berusia antara 15 hingga 40 tahun.


LOGO DAN SLOGAN NISA'
Slogan NISA' ialah "Penghubung Generasi Muda" atau "Connecting Youth", menggambarkan kesungguhan NISA' untuk menyatukan generasi muda melalui pendekatan bersepadu dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.


Logo NISA' ini direka khusus bagi menggambarkan imej terkini dan perubahan NISA'.


Huruf "N" pada logo bukan sahaja melambangkan nama NISA', malahan ia membawa maksud "New" ataupun "Baru" dari sudut pendekatan dan idea baru untuk generasi muda.

Warna kelabu menggambarkan impian NISA' untuk menjadi sebuah organisasi profesional bagi golongan muda yang terbilang.

Warna ungu pula mewakili imej baru NISA' yang ceria, segar, serta 'loving and caring' terhadap generasi muda.

Latar belakang yang berbentuk bulatan menggambarkan matlamat NISA' yang ingin meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

Sunday, August 2, 2009

SELAMAT DATANG



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.

Alhamdulillah, akhirnya hasrat Nisa' Batu Buruk untuk memiliki blog sendiri telah tercapai pada hari ini, 3 Ogos 2009 bersamaan 12 Syaaban 1430H. Meskipun masih lagi dalam rangka pembinaan, adalah diharapkan kepada semua pengunjung blog Nisa' Dun Batu Buruk sudi untuk memberikan teguran, komen, pandangan untuk memastikan peningkatan prestasi blog ini dapat ditingkatkan dari masa ke semasa. Buat semua, tolong doakan agar ianya dapat memberi impak yang baik kepada yang mengunjungi juga yang mengendali. Selamat Datang kami ucapkan...